Ahad, 31 Mac 2013

Bahasa Slanga


5 April 2013 / Jumaat

Pengunaan bahasa slanga yang meluas dalam kalangan remaja menyebabkan wujudnya bahasa slanga yang bukan sahaja digunakan dalam percakapan tetapi juga dalam penulisan. Penulisan-penulisan yang digunakan dalam sesebuah buku terutama dalam bacaan ringan seperti komik telah terpengaruh dengan bahasa slanga. Penggunaan bahasa slanga dalam penulisan sesebuah buku atau karya dan diterbitkan boleh menjejaskan kedaulatan bahasa.

        Penggunaan bahasa slanga dalam sesebuah buku juga menyebabkan ramai remaja dan kanak-kanak akan terpengaruh dan menggunakan bahasa ini dalam kehidupan seharian. Pengaruh bahasa slanga yang semakin berkembang penggunaannya mendatangkan kerisauan bukan saja dalam kalangan pakar linguistik atau pejuang bahasa Melayu, malah ibu bapa juga tidak begitu setuju dengan kebanjiran komik berbahasa slanga di pasaran.
Kesan penggunaan bahasa yang serba mudah dan meluas ini banyak istilah baru yang muncul bagi memudah ekspresi. Contoh istilah-istilah baru yang muncul kesan daripada penggunaan bahasa slanga ialah:

Gila (gilew), Caye (percaya), Camni (macam ini), Teypon (telefon), Rindu (indu)

Istilah-istilah ini pada peringkat awal digunakan hanya untuk memeriahkan suasana sahaja, namun demikian lama kelamaan istilah ini menjadi budaya dalam percakapan. Hal ini menyebabkan generasi-genarasi muda yang akan datang akan terpengaruh dengan budaya bahasa slanga yanga digunakan pada masa kini. Jika direnungkan sejenak apakah kesan jangka panjang jika bahasa slanga masih terus digunakan oleh generasi kini, maka dapat disimpulkan bahawa generasi akan datang akan mewarisi bahasa melayu dengan variasi baru.

Bagi saya, matlamat untuk mengembangkan bahasa Melayu akan terhalang akibat terlalu banyak elemen yang merosakkan bahasa diperkenalkan oleh pengguna bahasa slanga. Bahasa melambangkan bangsa, jika bahasa slanga terus merabak generasi akan datang akan lupa akan bahasa mereka sendiri. Usaha untuk mengembangkan bahasa melayu diperingkat antarabangsa misalnya tidak akan dicapai sekiranya pengguna bahasa itu sendiri tidak mengunakan bahasa mereka dengan betul.

                      

Bahasa Tempelak


4 April 2013 / Khamis

Bahasa tempelak adalah bahasa yang menggunakan kata-kata cela yang keras dan pedas dengan tujuan untuk membangkitkan keburukan atau kesalahan orang tertentu. Menurut Za’ba, bahasa tempelak disifatkan sebagai hendak memulangkan paku buah keras kepada orang yang tidak mendengar nasihat setelah berlaku sesuatu yang tidak diingini akibat tidak mendengar nasihat yang diberikan pada awalnya. 

Contoh situasi: Apabila seorang adik ingin meminta duit belanja daripada abangnya selepas kehabisan duit akibat boros berbelanja. Abangnya mungkin akan menempelak dengan menggunakan ayat berikut “Itulah waktu duit masuk, kau tak beringat untuk menyimpan. Sekarang apa dah jadi? Duit sudah habis, apa yang kau hendak makan?”

Bahasa tempelak kadang-kadang digunakan oleh masyarakat untuk menyedarkan seseorang supaya tidak melakukan kesilapan. Sebagai manusia biasa, apabila ditegur dengan cara yang lemah lembut mereka kadang-kadang tidak mengambil peduli. Apabila ditegur dengan cara yang kasar seperti ini barulah mereka sedar dan mengambil peduli mengenainya.
                                               
                                                                    

Perayaan



3 April 2013 / Rabu

          Semasa musim perayaan biasanya ada segelintir masyarakat sengaja menutup pintu seolah-olah tiada orang yang berada di rumah. Hal ini jelas menunjukkan mereka bersifat individualistik kerana tidak mengalu-alukan kedatangan tetamu dan tidak mahu diganggu pada Hari Raya. Mereka juga langsung tidak menziarahi sanak-saudara mahupun jiran sebaliknya lebih suka berkurung di dalam rumah sambil menghabiskan masa dengan menonton televisyen, tidur dan melayari internet. Sesungguhnya, amalan ziarah-menziarahi mampu memperbaiki hubungan sesama insan selain merapatkan hubungan silaturrahim antara kita. Oleh itu, marilah kita sama-sama menghidupkan amalan ziarah-menziarahi, dan mempereratkan silaturrahim dan kasih sayang sebagai umat islam yang bersaudara. Mudah-mudahan Allah S.W.T akan memberkati hidup kita, melapangkan segala kesulitan, membuka pintu rahmat-Nya serta mengurniakan kita kehidupan yang damai dan tenteram, amin ya Rabb.

                                                                                                                       
                    

Doa Selamat


2 April 2013 / Selasa

Pada petang hari Ahad, saya telah menghadiri  Majlis Doa Selamat di rumah kawan saya di Taman Universiti yang berdekatan dengan kampus. Sebelum majlis tersebut berlangsung, mereka sama-sama menyiapkan makanan yang hendak dijamu kepada para tetamu yang hadir nanti . Mereka memasak Laksa, Bubur Pulut Hitam, Cucur Kucai dan kuah kacang. Dapur menjadi riuh-rendah dengan suara mereka bergelak ketawa dan bersembang seperti berada dalam suasana bergotong-royong untuk majlis kenduri kahwin. Kesibukan dan tekanan dalam menggalas tanggungjawab sebagai pelajar UPSI dapat tidak menghalang mereka untuk bekerjasama melakukan aktiviti ini. Di samping itu, kemeriahan yang berlaku dapat mengurangkan tekanan.

     Semangat tolong-menolong semasa menyiapkan juadah untuk majlis tersebut mampu mempereratkan hubungan silaturrahim yang sedia terjalin. Tuntasnya, amalan murni bergotong-royong ini banyak memberikan kebaikan kepada masyarakat. Amalan ini bukan sahaja boleh dilakukan oleh penduduk taman perumahan untuk membersihkan kawasan, tetapi juga boleh diaplikasikan di sekolah dan di rumah. Semoga hubungan silaturrahim yang terjalin dapat diperkukuhkan lagi melalui aktiviti-aktiviti seperti ini.


                          

Manis Tersenyum


1 April 2013 / Isnin

Tengahari tadi saya pergi membeli makanan di salah sebuah kedai. Saya  mengambil lauk dan terus membayarnya. Hati saya  tertarik dengan kakak dikaunter pembayaran restoran itu. Dari jauh dia sudah tersenyum kepada saya. Murah senyumannnya dan sungguh manis sekali. Begitu juga  apabila saya hendak pulang ke rumah. Saya terpandang seorang gadis ini. Gadis ini tersenyum kepada saya. Saya membalas senyumannya. Walaupun kami tidak pernah berjumpa, tetapi gadis ini tidak lokek dengan senyuman.

         Pada pendapat saya, senyuman yang manis tersirat satu erti yang begitu bermakna. Tafsiran yang berbilang yang ada pada insan yang memandangnnya. Senyuman yang lahir daripada keikhlasan dilubuk hati adalah manisnya senyuman yang paling bermakna. Oleh sebab itu, kita haruslah sentiasa tersenyum disaat suka mahupun duka.


                                

Sikap Penjual



29 March 2013 / Jumaat

Karnival pesta buku di SITC  telah berlangsung selama beberapa hari di kampus lama sempena mendapat baucer buku BRIM. Saya bersama rakan-rakan turun untuk melihat barang yang dijual. Kami singgah di sebuah kedai menjual pakaian. Mata saya tertacap pada sebuah blaus yang ada di dalam gerai itu. Saya pun bertanyakan tentang harga.

Saya:Baju ni berapa harga?

Penjual: RM 30 je.          
   
Saya: RM 30?? Tak boleh kurang ke?

Penjual: Tak boleh kurang dah. Ni pun kami jual dah murah dah ni.(Jawabnya dengan nada yang sombong)

        Oleh kerana saya mendengar kata-kata penjual dalam nada yang agak kasar dan sombong, saya tidak jadi untuk membeli blaus tersebut.

Sepatutnya jika kita menjadi seorang penjual perlu  mementingkan bahasa yang baik untuk menarik perhatian pelanggan.  Bahasa yang lembut dan menarik boleh menarik perhatian pengunjung untuk singgah membeli.  Dalam tawar menawar harga juga perlu menggunakan bahasa yang baik. Penjual perlu lebih berdiplomasi semasa berunding harga dengan pelanggan. Mereka tidak boleh menunjukkan riak yang sombong dan menjawab dengan nada yang kasar setiap pertanyaan pelanggan. Mereka seharusnya mempunyai etika semasa melakukan proses jual beli.


               


Sabtu, 23 Mac 2013

Bapa Saudara Lumpuh


28 March 2013 / Khamis        
       
      Hari ini saya dikejutkan dengan berita yang agak menyedihkan. Hal ini demikian kerana saya mendapat panggilan telefon daripada ibu saudaraku iaitu Maklong bahawa suaminya telah mengalami kemalangan jalanraya pada pagi tadi. Sebak suara Maklong ketika saya mendengar suaranya di telefon. Saya juga turut bersedih. Maklong saya turut memberitahuku bahawa suaminya berkemungkinan lumpuh buat selama-lamanya kerana tulang belakangnya telah remuk akibat hentakan yang kuat. Selepas mendengar berita ini, saya pun membuat keputusan untuk pulang ke kampung untuk menjenguk keadaan bapa saudara saya. Sebaik sahaja sampai, saya bergegas ke hospital untuk menjenguk keadaannya. Apabila lihat sahaja wajah bapa saudaraku, air mataku terus bercucuran dengan deras sekali. Saya tidak dapat menahan sebak di dada kerana melihat beban kesakitan yang ditanggung oleh bapa saudara saya. Walaupun keadaan sebegitu, saya lihat ibu saudaraku begitu tabah menghadapinya. Saya yakin sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya. Saya berharap agar Maklong saya dapat menjalani ujian daripadaNya dengan tabah selepas ini. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. Setiap musibah yang menimpa pasti ada hikmahnya yang tersendiri.