Selasa, 5 Mac 2013

Cuai


5 March 2013 / Selasa

Bismillahirahmanirrahim...

Pada pagi Sabtu sebulan yang lepas saya telah dikejutkan oleh ibu saya pada pukul lima pagi, memandangkan kami akan bertolak ke Kuala Lumpur untuk ke rumah kakak saya pada pukul enam pagi. Agak pening-pening lalat memandangkan malam sebelum itu saya tidur lambat.
Setibanya kami di rumah kakak saya, saya berehat-rehat sambil bermain dengan anak kakak saya iaitu Zafar Absyar yang berusia setahun. Zafar sangat comel ditambah lagi kulitnya yang putih dan pipinya yang tembam. Selepas makan tengahari, abang saya membawa kami ke sebuah pusat membeli-belah. Saya bersama adik saya pergi ke sebuah kedai untuk membeli jam memandangkan sudah setahun jam saya rosak. Setelah memilih jam yang sesuai, saya ke kaunter pembayaran. Saya menyeluk beg tangan saya untuk mengeluarkan dompet. Saya dapati beg duit saya tiada. Jantung saya berdegup kencang. Saya meraba-raba lagi dengan harapan beg duit saya akan muncul secara ajaibnya. Namun malangnya, harapan saya hanya sekadar angan-angan kosong. Saya lantas membuat muka cuak di hadapan jurujual tersebut. Akan tetapi adik saya lantas membayarkan jam saya menggunakan duitnya. Untuk pengetahuan anda semua saya memang amat terkenal di kalangan ahli keluarga sebagai seorang yang amat cuai dan pelupa. Sering sahaja tertinggal telefon bimbit, tercicir barang, terlupa dan sebagainya. Apabila tiba di rumah kakak, saya dapati beg duit saya berada di bilik kakak saya. Saya menghela nafas lega dan bersyukur. Akan tetapi saya dimarahi oleh ibu dan ayah saya.
Sepatutnya, kita tidaklah boleh cuai dalam segala hal. Hal ini kerana satu kecuaian sahaja akan mengakibatkan bermacam-macam masalah akan menimpa dan akan menyusahkan orang lain. Sejak dari itu, saya berjanji tidak akan cuai lagi. Insya-Allah.


                  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan