Ahad, 31 Mac 2013

Bahasa Slanga


5 April 2013 / Jumaat

Pengunaan bahasa slanga yang meluas dalam kalangan remaja menyebabkan wujudnya bahasa slanga yang bukan sahaja digunakan dalam percakapan tetapi juga dalam penulisan. Penulisan-penulisan yang digunakan dalam sesebuah buku terutama dalam bacaan ringan seperti komik telah terpengaruh dengan bahasa slanga. Penggunaan bahasa slanga dalam penulisan sesebuah buku atau karya dan diterbitkan boleh menjejaskan kedaulatan bahasa.

        Penggunaan bahasa slanga dalam sesebuah buku juga menyebabkan ramai remaja dan kanak-kanak akan terpengaruh dan menggunakan bahasa ini dalam kehidupan seharian. Pengaruh bahasa slanga yang semakin berkembang penggunaannya mendatangkan kerisauan bukan saja dalam kalangan pakar linguistik atau pejuang bahasa Melayu, malah ibu bapa juga tidak begitu setuju dengan kebanjiran komik berbahasa slanga di pasaran.
Kesan penggunaan bahasa yang serba mudah dan meluas ini banyak istilah baru yang muncul bagi memudah ekspresi. Contoh istilah-istilah baru yang muncul kesan daripada penggunaan bahasa slanga ialah:

Gila (gilew), Caye (percaya), Camni (macam ini), Teypon (telefon), Rindu (indu)

Istilah-istilah ini pada peringkat awal digunakan hanya untuk memeriahkan suasana sahaja, namun demikian lama kelamaan istilah ini menjadi budaya dalam percakapan. Hal ini menyebabkan generasi-genarasi muda yang akan datang akan terpengaruh dengan budaya bahasa slanga yanga digunakan pada masa kini. Jika direnungkan sejenak apakah kesan jangka panjang jika bahasa slanga masih terus digunakan oleh generasi kini, maka dapat disimpulkan bahawa generasi akan datang akan mewarisi bahasa melayu dengan variasi baru.

Bagi saya, matlamat untuk mengembangkan bahasa Melayu akan terhalang akibat terlalu banyak elemen yang merosakkan bahasa diperkenalkan oleh pengguna bahasa slanga. Bahasa melambangkan bangsa, jika bahasa slanga terus merabak generasi akan datang akan lupa akan bahasa mereka sendiri. Usaha untuk mengembangkan bahasa melayu diperingkat antarabangsa misalnya tidak akan dicapai sekiranya pengguna bahasa itu sendiri tidak mengunakan bahasa mereka dengan betul.

                      

Bahasa Tempelak


4 April 2013 / Khamis

Bahasa tempelak adalah bahasa yang menggunakan kata-kata cela yang keras dan pedas dengan tujuan untuk membangkitkan keburukan atau kesalahan orang tertentu. Menurut Za’ba, bahasa tempelak disifatkan sebagai hendak memulangkan paku buah keras kepada orang yang tidak mendengar nasihat setelah berlaku sesuatu yang tidak diingini akibat tidak mendengar nasihat yang diberikan pada awalnya. 

Contoh situasi: Apabila seorang adik ingin meminta duit belanja daripada abangnya selepas kehabisan duit akibat boros berbelanja. Abangnya mungkin akan menempelak dengan menggunakan ayat berikut “Itulah waktu duit masuk, kau tak beringat untuk menyimpan. Sekarang apa dah jadi? Duit sudah habis, apa yang kau hendak makan?”

Bahasa tempelak kadang-kadang digunakan oleh masyarakat untuk menyedarkan seseorang supaya tidak melakukan kesilapan. Sebagai manusia biasa, apabila ditegur dengan cara yang lemah lembut mereka kadang-kadang tidak mengambil peduli. Apabila ditegur dengan cara yang kasar seperti ini barulah mereka sedar dan mengambil peduli mengenainya.
                                               
                                                                    

Perayaan



3 April 2013 / Rabu

          Semasa musim perayaan biasanya ada segelintir masyarakat sengaja menutup pintu seolah-olah tiada orang yang berada di rumah. Hal ini jelas menunjukkan mereka bersifat individualistik kerana tidak mengalu-alukan kedatangan tetamu dan tidak mahu diganggu pada Hari Raya. Mereka juga langsung tidak menziarahi sanak-saudara mahupun jiran sebaliknya lebih suka berkurung di dalam rumah sambil menghabiskan masa dengan menonton televisyen, tidur dan melayari internet. Sesungguhnya, amalan ziarah-menziarahi mampu memperbaiki hubungan sesama insan selain merapatkan hubungan silaturrahim antara kita. Oleh itu, marilah kita sama-sama menghidupkan amalan ziarah-menziarahi, dan mempereratkan silaturrahim dan kasih sayang sebagai umat islam yang bersaudara. Mudah-mudahan Allah S.W.T akan memberkati hidup kita, melapangkan segala kesulitan, membuka pintu rahmat-Nya serta mengurniakan kita kehidupan yang damai dan tenteram, amin ya Rabb.

                                                                                                                       
                    

Doa Selamat


2 April 2013 / Selasa

Pada petang hari Ahad, saya telah menghadiri  Majlis Doa Selamat di rumah kawan saya di Taman Universiti yang berdekatan dengan kampus. Sebelum majlis tersebut berlangsung, mereka sama-sama menyiapkan makanan yang hendak dijamu kepada para tetamu yang hadir nanti . Mereka memasak Laksa, Bubur Pulut Hitam, Cucur Kucai dan kuah kacang. Dapur menjadi riuh-rendah dengan suara mereka bergelak ketawa dan bersembang seperti berada dalam suasana bergotong-royong untuk majlis kenduri kahwin. Kesibukan dan tekanan dalam menggalas tanggungjawab sebagai pelajar UPSI dapat tidak menghalang mereka untuk bekerjasama melakukan aktiviti ini. Di samping itu, kemeriahan yang berlaku dapat mengurangkan tekanan.

     Semangat tolong-menolong semasa menyiapkan juadah untuk majlis tersebut mampu mempereratkan hubungan silaturrahim yang sedia terjalin. Tuntasnya, amalan murni bergotong-royong ini banyak memberikan kebaikan kepada masyarakat. Amalan ini bukan sahaja boleh dilakukan oleh penduduk taman perumahan untuk membersihkan kawasan, tetapi juga boleh diaplikasikan di sekolah dan di rumah. Semoga hubungan silaturrahim yang terjalin dapat diperkukuhkan lagi melalui aktiviti-aktiviti seperti ini.


                          

Manis Tersenyum


1 April 2013 / Isnin

Tengahari tadi saya pergi membeli makanan di salah sebuah kedai. Saya  mengambil lauk dan terus membayarnya. Hati saya  tertarik dengan kakak dikaunter pembayaran restoran itu. Dari jauh dia sudah tersenyum kepada saya. Murah senyumannnya dan sungguh manis sekali. Begitu juga  apabila saya hendak pulang ke rumah. Saya terpandang seorang gadis ini. Gadis ini tersenyum kepada saya. Saya membalas senyumannya. Walaupun kami tidak pernah berjumpa, tetapi gadis ini tidak lokek dengan senyuman.

         Pada pendapat saya, senyuman yang manis tersirat satu erti yang begitu bermakna. Tafsiran yang berbilang yang ada pada insan yang memandangnnya. Senyuman yang lahir daripada keikhlasan dilubuk hati adalah manisnya senyuman yang paling bermakna. Oleh sebab itu, kita haruslah sentiasa tersenyum disaat suka mahupun duka.


                                

Sikap Penjual



29 March 2013 / Jumaat

Karnival pesta buku di SITC  telah berlangsung selama beberapa hari di kampus lama sempena mendapat baucer buku BRIM. Saya bersama rakan-rakan turun untuk melihat barang yang dijual. Kami singgah di sebuah kedai menjual pakaian. Mata saya tertacap pada sebuah blaus yang ada di dalam gerai itu. Saya pun bertanyakan tentang harga.

Saya:Baju ni berapa harga?

Penjual: RM 30 je.          
   
Saya: RM 30?? Tak boleh kurang ke?

Penjual: Tak boleh kurang dah. Ni pun kami jual dah murah dah ni.(Jawabnya dengan nada yang sombong)

        Oleh kerana saya mendengar kata-kata penjual dalam nada yang agak kasar dan sombong, saya tidak jadi untuk membeli blaus tersebut.

Sepatutnya jika kita menjadi seorang penjual perlu  mementingkan bahasa yang baik untuk menarik perhatian pelanggan.  Bahasa yang lembut dan menarik boleh menarik perhatian pengunjung untuk singgah membeli.  Dalam tawar menawar harga juga perlu menggunakan bahasa yang baik. Penjual perlu lebih berdiplomasi semasa berunding harga dengan pelanggan. Mereka tidak boleh menunjukkan riak yang sombong dan menjawab dengan nada yang kasar setiap pertanyaan pelanggan. Mereka seharusnya mempunyai etika semasa melakukan proses jual beli.


               


Sabtu, 23 Mac 2013

Bapa Saudara Lumpuh


28 March 2013 / Khamis        
       
      Hari ini saya dikejutkan dengan berita yang agak menyedihkan. Hal ini demikian kerana saya mendapat panggilan telefon daripada ibu saudaraku iaitu Maklong bahawa suaminya telah mengalami kemalangan jalanraya pada pagi tadi. Sebak suara Maklong ketika saya mendengar suaranya di telefon. Saya juga turut bersedih. Maklong saya turut memberitahuku bahawa suaminya berkemungkinan lumpuh buat selama-lamanya kerana tulang belakangnya telah remuk akibat hentakan yang kuat. Selepas mendengar berita ini, saya pun membuat keputusan untuk pulang ke kampung untuk menjenguk keadaan bapa saudara saya. Sebaik sahaja sampai, saya bergegas ke hospital untuk menjenguk keadaannya. Apabila lihat sahaja wajah bapa saudaraku, air mataku terus bercucuran dengan deras sekali. Saya tidak dapat menahan sebak di dada kerana melihat beban kesakitan yang ditanggung oleh bapa saudara saya. Walaupun keadaan sebegitu, saya lihat ibu saudaraku begitu tabah menghadapinya. Saya yakin sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya. Saya berharap agar Maklong saya dapat menjalani ujian daripadaNya dengan tabah selepas ini. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. Setiap musibah yang menimpa pasti ada hikmahnya yang tersendiri.


                           

Sampah


27 March 2013 / Rabu

        Terdetik dalam hati saya, mengapakah segelintir masyarakat selalu membuang sampah di tempat yang dilarang padahal di situ telah diletakkan papan tanda yang mengatakan ‘Dilarang membuang sampah di kawasan ini’. Mungkin papan tanda tersebut harus ditukar dengan papan tanda seperti gambar di bawah supaya mereka memahami maksud papan tanda tersebut. Membuang sampah di merata-rata tempat hanya akan menimbulkan ketidakselesaan kerana bau busuk dan pemandangan yang menjijikkan. Oleh itu, masyarakat seharusnya menjaga alam sekitar dengan sebaiknya supaya tidak terdedah dengan pelbagai penyakit yang mampu membawa maut.    


                           
                                                                 
                           

DJ Radio


26 March 2013 / Selasa

Assalammualaikum. Hari ini adalah hari yang paling memenatkan bagi saya. Kerana jadual kuliah saya pada hari Khamis sangat padat.  Namun saya gagahi juga kerana itu adalah tanggungjawab saya di universiti ini. Seharian berada di kampus menyebabkan badan saya terasa amat letih. Pada malamnya, saya menghabiskan masa saya dengan mendengar radio. Pada malam itu saya tertarik dengan kata-kata seorang penyampai ini. Kata-katanya membuat saya berfikir sejenak. “ Yang berlalu, biarlah berlalu, janganlah anda hidup di dalam mimpi-mimpi buruk masa lalu. Orang yang berusaha kembali masa lalu, adalah tidak ubah seperti orang yang menggiling tepung, padahal dirinya sendiri tergiling di dalamnya.”

        Pada pandangan saya, dia bukan sahaja sebagai seorang penghibur kepada para pendengar yang setia pada radio malah pandai memberikan kata-kata nasihat sebagai panduan dan pedoman kepada kami yang setia mendengar celotehnya.

                     

Bahasa SMS


25 March 2013 / Isnin

Hari ini saya sungguh gembira kerana saya dapat berhubung dengan ibu saya di kampung. Untuk pengetahuan semua, untuk mendapatkan berita tentang keluarga, saya selalu akan bermain SMS (sistem pesanan ringkas) dengan adik saya. Kadangkala saya tidak memahami sangat apa yang ditulis oleh adik saya ini. Berikut merupakan contoh mesej yang saya terima semalam:

Salam kak, chat? Mak tnya kak da beli tiket tuk lik kmpung x? mak pesan t lik ati2.

        Berdasarkan mesej-mesej ini, kita dapat perhatikan bahawa banyak perkataan yang lari daripada ejaan asal. Saya sendiri sama sekali tidak berapa faham apa yang ditulisnya. Apa yang saya lihat di sini, penggunaan bahasa ringkas dan juga bahasa rojak dalam kalangan generasi muda pada hari ini menyebabkan pelajar susah untuk berkomunikasi dengan bahasa Melayu yang betul yang sememangnya mempunyai penyususnan tatabahasa dan frasa yang betul. Lebih membimbangkan lagi, kemungkinan generasi muda akan datang susah untuk mengeja sesuatu perkataan dengan betul semasa membuat karangan di dalam kelas..

                     

 

Bahasa Terbalik


22 March 2013 / Jumaat

Mungkin ramai yang selalu bertutur menggunakan bahasa terbalik ini untuk menyampaikan maksud. Secara tidak sedar atau sedar bahasa terbalik menjadi satu ungkapan yang kita sentiasa dengar. Bahasa terbalik bermaksud apa yang cuba diperkatakan mempunyai pertentangan maksud dengan perkataan yang diucapkan.

Contohnya, apabila seorang pelajar suka menonton televisyen, ibunya berkata:
“Kan dah turun kelas, lain kali tontonlah lagi TV tu.     
             
        Kadang kala mereka yang melakukan kesalahan ini biasanya tidak menyedari kesalahan yang telah mereka lakukan. Oleh itu, kita seharusnya berhati-hati apabila hendak menyusun ayat.

                         

Lelaki Lembut


21 March 2013 / Khamis
                                                                                   
Sewaktu saya sedang menunggu bas, beberapa orang lelaki lalu di hadapan saya.  Dari jauh saya memerhatikan bahawa lelaki tersebut adalah golongan lembut. Dengan mata yang dicalit maskara dan kening yang dicukur rapi. Ayunan langkah mereka mengalahkan perempuan tulen. Tiba-tiba saya terdengar perbualan mereka. Bukan terniat ingin mencuri dengar tetapi terdengar dengan tidak sengaja.

Lelaki 1: Nyah!Cantek tak mak hari ni?
Lelaki 2: Cantek kau nyah!Meletops!       

        Saya hanya memerhati telatah mereka. Bagi saya, perkataan mereka berbeza daripada perkataan yang digunakan oleh golongan biasa seperti kita. Saya hanya mampu berharap dan berdoa agar golongan mereka berubah dan tidak mempengaruhi bahasa Melayu kita yang sememangnya sedia tercemar dengan bahasa rojak.


                                

Melatah


20 March 2013 / Rabu

Hari ini saya ingin menceritakan berkenaan dengan penyakit latah. Penyakit latah ini bukanlah sesuatu yang asing dalam masyarakat Melayu kita. Kita biasa berjumpa dengan mereka yang suka melatah walaupun hanya perkara yang kecil.  Saya juga tidak terkecuali mempunyai kawan yang suka melatah. Antara latah yang tidak boleh saya lupa adalah sewaktu kawan saya ini disergah.

Rakan saya: Opocot!mak kau tergolek!

        Biasanya orang yang suka melatah ini akan melatah jika mereka dalam situasi yang membuatkan mereka terkejut. Namun terdapat juga kawan sekolah saya dahulu yang suka melatah sehingga mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya. Kadang kala mendengar oarang melatah ini menimbulkan kelucuan tetapi sekiranya melatah perkara yang bukan-bukan akan menimbulkan rasa kurang selesa kepada orang lain.

        Sememangnya penyakit latah ini boleh diatasi sekiranya mereka tidak terlalu memikirkan perkataan itu sewaktu menghadapi situasi terkejut. Penyakit latah ini berlaku tidak mengira golongan sama ada golongan muda atau golongan tua. Seboleh mungkin kita perlu mengelakkan diri daripada melatah supaya tidak menjadi satu penyakit dan menimbulkan masalah kepada kita.

                     

Sabtu, 9 Mac 2013

Pemandu Bas Yang Tidak Berbudi Bahasa



19 March 2013 / Selasa

Apa yang mahu saya ceritakan ialah sikap segelintir pemandu bas yang tidak  berbudi bahasa. Ketika saya mahu turun dari bas yang saya naiki untuk pergi ke kuliah di kampus, ucapan terima kasih memang tidak akan lekang daripada mulut saya kepada  pemandu bas yang membawa bas ketika itu. Hal ini kerana, memang menjadi satu budaya pelajar-pelajar di sini pasti akan mengucapkan terima kasih kepada pemandu bas yang memandu bas membawa mereka setiap kali mahu menuruni tangga bas, sehinggakan jenuh rasanya pemandu bas mahu membalas ucapan " sama-sama" kepada setiap pelajar yang menuruni bas mereka. Tapi, ini merupakan budaya yang baik kerana nilai budi bahasa masih dipancarkan kepada setiap pelajar walau pun pada mulanya ketika mahu menaiki bas terpaksa berebut-rebut. Namun, lain pula kepada pemandu bas yang satu ini. Walaupun kami mengucapkan terima kasih, pemandu bas yang agak berusia itu tidak membalas "sama-sama" atau apa-apa perkataan pun. Dengan  muka kelat seperti menyindir, pemandu tersebut hanya menjeling ke arah kami. Bukan sekali, tetapi setiap kali  saya dan rakan-rakanku yang lain naik bas yang dialah pemandunya, setiap kali itulah dia melakukan tingkah-laku yang sama. Rasa kecil hati dan tersingguh masih boleh dirasai hingga kini. apa salahnya dengan hanya tersenyum atau mengucapkan balasan "sama-sama"? Tidak bolehkah bertindak berbudi bahasa juga walau dengan hanya senyuman?

Pada pendapat saya, konsep budi bahasa sewajarnya menjadi amalan setiap rakyat di Malaysia tidak kiralah apa pekerjaan  kita. Walau hanya pemandu bas sahaja, sekiranya berbudi bahasa kepada para penumpang, ia akan menimbulkan kesan dan nilai yang baik kepada penumpang-penumpang yang lain. Walau tanpa dinyatakan dengan ucapan tutur kata, ianya boleh dizahirkan dengan bahasa badan yang tanpa kita sedari sedikit sebanyak memberi kesan mendalam kepada orang lain. Setiap bahasa badan yang kita lakukan memberi tafsiran makna tersendiri kepada sesiapa yang menyedarinya.


                                                                                                       



Mengawal Kemarahan dengan Bahasa yang Baik



18 March / Isnin
                  
Hal ini mungkin akan terjadi kepada semua pelajar. Namun, hanya sedikit tingkah-laku yang ingin dititipkan di sini. Situasi ini terjadi ketika saya mahu membeli makanan tengah hari di kedai makan bahtera arked.

Pada mulanya, kakiku rasa berat mahu melangkah menuruni tangga-tangga kecil di rumah kediamanku walaupun saya hanya tinggal di aras 2. Namun, disebabkan perutku yang berkeroncong kuat bak menyanyikan lagu zapin, saya turutkan juga bentak perut yang perlu diisi meminta makanan. Saya dengan hanya berpakaian ala kadar mengenakan baju 't-shirt' putih dan seluar 'track' hitam serta bertudung menuruni tangga dengan mengelek dompet di tangan menuju ke destinasi.

Sesampainya di sana, "Masya-Allah, ramainya orang mahu membeli juadah tengah hari ketika ini! ", kata hatiku sendiri. Ketika saya sampai, sudah ramai yang beratur mahu membuat pembayaran makanan yang telah dipilih oleh mereka di kaunter pembayaran. Ketika saya sibuk memilih lauk untuk juadah tengah hari, saya terdengar seorang pelajar yang sudah berada di hadapan kaunter pembayaran berkata seperti ini:

"Eh mak cik, kenapa lauk hari ini lauk ayam saja? Dah tak ada lauk lain?Kalau hari-hari makan lauk ayam saja boleh gemuk kami macam ini!", katanya kepada seorang perempuan yang agak tua di kaunter pembayaran. Suaranya agak kuat sehingga saya yang berada di belakang barisan boleh mendengar suaranya dengan jelas. Lagi pula, nada suaranya seperti marah bercampur sinis. Perempuan tua itu hanya menghadiahkan senyuman kepadanya. Pelajar itu terus berlalu pergi setelah selesai membuat pembayaran di kaunter tersebut. Mungkin perempuan tua  itu rasa malu atau sekadar bersabar tidak mahu mempedulikan kata-kata pelajar itu tadi. Saya meneruskan perjuanganku membeli makanan dan seterusnya membuat pembayaran di kaunter. 

Sepatutnya, tidak sewajarnya pelajar tersebut mengeluarkan kata-kata sedemikian kerana sebagai rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama haruslah mempunyai  nilai sopan santun atau pun budi bahasa yang tinggi walau dengan sesiapa sahaja kita berkomunikasi. Dalam konteks ini, walau pun dalam situasi mahu membeli makanan  sahaja, kita seharusnya menunjukkan sikap yang baik. Dalam Islam juga ada mengingatkan kita tentang tindakan yang sewajarnya ketika diri dalam kemarahan.


             

Kesesakan Lalu Lintas


15 March 2013 / Jumaat

Di sini saya mahu menceritakan tentang perkara yang berlaku pada hari Ahad semalam yang mana berlaku satu kesesakan yang amat teruk di lebuh raya Kuala Lumpur. Saya menaiki kereta yang dipandu oleh rakan saya untuk menghantarku ke rumah kakakku di Cheras. Dalam menempuh dan mengharungi kesesakan lalu lintas ini, saya mengingatkan rakan saya agar sentiasa bersabar dan memandu dengan berkhemah mengikut undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan. Namun, di celah-celah kesibukan itu ada juga pemandu yang kurang sabar dan mengikut 'undang-undang' mereka sendiri.  Di kala pemandu-pemandu lain menunggu giliran dalam barisan masing-masing yang amat panjang dan sesak, ada pemandu-pemandu lain dari arah barisan yang sebelah kiri memotong jalan, mereka mengambil jalan mudah dengan mengambil ruang di bahu jalan sebelah kiri bagi memotong kenderaan pemandu-pemandu lain. 

        Namun, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Di hujung jalan bahu jalan itu juga ada beberapa pegawai trafik yang sedang menunggu 'mangsanya' dengan menaiki dua motorsikal dan sebuah kereta. Apalagi, pemandu kenderaan yang mana  tidak sempat memotong jalan ditahan oleh mereka. Sudahlah  terperangkap dalam kesesakan,  denda saman trafik sebanyak RM 300 pula melayang dari tangan. Saya dan rakan berasa lega dan bernasib baik mengikut peraturan jalan raya yang ditetapkan walaupun dalam kesesakan. Alhamdulillah, akhirnya selepas melepasi lebuh raya Kuala Lumpur, kami selamat tiba di Cheras.

Setiap manusia mempunyai ragam dan sikap yang berbeza. Lain orang lainlah ragamnya. Namun, kita sebagai manusia yang bertamadun haruslah mematuhi peraturan dan undang-undang negara yang telah ditetapkan misalnya peraturan di jalan raya. Sebagai seorang pemandu, sikap sabra amat penting apabila memulakan perjalanan.


               

Bahasa Jiwa Bangsa


14 March 2013 / Khamis

Budi bahasa budaya kita, inilah antara ungkapan yang menggambarkan betapa pentingnya kita sebagai penutur bahasa Melayu tanpa mengambil kira latar belakang bangsa di tanah air yang tercinta ini menjadi masyarakat yang dikenali sebagai masyarakat yang beradab. Bahasa yang kita tuturkan berupaya menggambarkan sahsiah kita. Kesantunan berbahasa yang kita perjuangkan dalam kalangan masyarakat penuturnya telah mengangkat martabat masyarakat di negara kita sebagai masyarakat yang peramah, bersopan santun, berbudi pekerti mulia dan berbudi bahasa. 

Kita dikagumi oleh masyarakat dunia kerana perpaduan jitu dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum. Tanpa melihat kepada perbezaan bangsa iaitu sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Bajau dan lain-lain lagi, kita menggunakan bahasa yang satu, iaitu bahasa Melayu tanpa prejudis. Bahasa Melayu berupaya menjadikan kita sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai keistimewaan tersendiri terutamanya kita diberi jolokan oleh masyarakat dunia sebagai masyarakat yang berbudi bahasa, ramah dan melayan tetamu dengan sopan. Pantun Melayu ada mengungkapkan yang berbunyi :
                                             
Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Demikianlah indahnya pantun Melayu yang menggambarkan betapa bersungguh-sungguhnya nenek moyang kita menjaga adab dalam pergaulan terutamanya daripada aspek pertuturan. Gurindam Melayu juga ada mengingatkan kita betapa pentingnya kita untuk mengekalkan kesantunan dalam berbahasa. Oleh itu, gunakanlah bahasa yang santun, buktikan bahawa kita merupakan masyarakat yang bertamadun dan kaya dengan budi bahasa.



                                        
                             

Adab Bersalam-salaman


13 March 2013 / Rabu

Anak-anak perlu diajar supaya bersalaman dengan orang yang lebih tua ketika berkunjung ke rumah saudara-mara. Budaya bersalaman ini perlu ditanamkan dalam setiap diri kita sejak dari kecil lagi. Bak peribahasa Melayu “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Saya ingin berkongsi satu cerita. Kanak-kanak adalah insan paling gembira menjelang Aidilfitri. Pada Aidilfitri yang lalu, rakan saya bersama keluarganya telah datang beraya di rumah saya. Dia mempunyai dua orang anak lelaki. Anaknya yang sulung sangat baik budi bahasanya. Setibanya mereka di rumah saya, anak lelakinya itu terus berlari masuk ke dalam rumah dan menarik tangan kami semua untuk bersalam. Saya berasa terharu dengan telatahnya yang manja dan mesra itu. Walaupun baru berusia 3 tahun, tetapi sudah tahu menghormati orang tua.

Sepatutnya, ibu bapalah yang berperanan membentuk dan mendidik anak-anak supaya menjadi lebih baik. Ibu bapa merupakan role model kepada anak-anak. Kanak-kanak akan meniru setiap tindakan ibu bapa mereka. Begitu juga dengan budaya bersalam-salaman ini, ibu bapa perlu mengajar anak-anak supaya bersalaman dengan orang yang lebih tua walaupun dimana-mana. Berjabat tangan, bersalam ini merupakan satu amalan yang begitu ‘dekat’ dalam kehidupan masyarakat kita sejak dulu lagi. Ia sudah menjadi budaya dan kelaziman serta pengukur tinggi budi seseorang.


            

Komuter Koc Wanita



12 March 2012 / Selasa

KTM Komuter telah mengambil inisiatif memperkenalkan Koc Wanita yang pertama di Negara ini yang memulakan operasi untuk laluan Sentul-Pelabuhan Klang, sepanjang hari bermula awal 2010 yang lalu. Pelaksanaan Koc Wanita ini berpandukan statistik yang menunjukkan 60% pengguna perkhidmatan KTM Komuter adalah terdiri daripada kaum wanita. Pengenalan Koc Wanita ini adalah bertujuan untuk memberi lebih keselesaan dan jaminan keselamatan kepada penumpang wanita daripada risiko gangguan seksual dan bersesak-sesak dengan penumpang lelaki. Walau bagaimananpun,kanak-kanak lelaki berumur kurang daripada 12 tahun yang membuat perjalanan bersama saudara wanita mereka dibenarkan menaiki koc ini. Pengguna wanita tidak diwajibkan menggunakan Koc Wanita sahaja ketika menggunakan perkhidmatan KTM Komuter. Mereka boleh memilih sama ada untuk menggunakan Koc Wanita atau koc biasa. 

Pada pendapat saya, inisiatif seperti ini banyak memberi manfaat kepada pengguna-pengguna KTM Komuter terutamanya pengguna wanita. Mereka bukan sahaja mendapat perhatian yang baik malah mereka turut mendapat jaminan  keselesaan dan keselamatan  semasa berada di sepanjang perjalanan. Namun, saya ingin memberi sedikit komen tentang perlaksanaan Koc Wanita ini iaitu masih ada juga sesetengah kaum lelaki yang tidak faham tentang penggunaan koc ini. Mereka  telah memasuki Koc Wanita dan ini telah menimbulkan ketidakselesaan terhadap kaum wanita sedangkan masih ada lagi koc biasa untuk mereka. Saya juga berharap pihak KTM Komuter benar-benar memandang serius dalam pelaksanaan koc ini dan sentiasa mengambil tindakan susulan tentang penyalahgunaan koc ini dalam kalangan kaum lelaki.





Dialek Melayu-Riau



11 March 2013 / Isnin

Berikut beberapa kosa kata Malaysia dan padanannya, untuk menghindari perselisihan seperti di kepulauan Riau itu. Walaupun kedua bahasa bangsa memiliki akar yang sama, tetap saja ada beberapa perbezaan yang mungkin berpotensi menimbulkan salah faham.

                    
INDONESIA                                                                            MALAYSIA           
Kementerian Agama                                                                 Kementerian Tak Berdosa
Angkatan Darat                                                                        Laskar Hentak-Hentak Bumi
Angkatan Laut                                                                          Angkatan Basah Kuyup
Rumah Sakit Bersalin                                                                Hospital Korban Lelaki
Menteri Kehutanan                                                                   Menteri Semak Belukar
Toilet                                                                                        Bilik Termenung
Gratis ngobrol 30 menit                                                             Percuma berbual 30 minit
Biji Pelir (maaf)                                                                         Buah manggut2/geleng2
Oral sex                                                                                    Teguk kelamin
Satpam                                                                                     Penunggu Maling
Joystick                                                                                     Batang senang
Ngobrol                                                                                    Berbual         
Rumah Saki Jiwa                                                                       Gubuk gila
Dokter Ahli Jiwa                                                                        Dokter Gila

Apabila ada istilah bahasa Riau di kepulauan Riau diterjemahkan dalam istilah bahasa Melayu di Malaysia, memanglah lucu bunyinya namun, makna asalnya tetap sama. Walaupun kita serumpun, namun istilah yang digunakan untuk sesuatu perkara tetap berbeza. Hal ini berkemungkinan berbeza sempadan geografinya. Semakin jauh geografi antara sesuatu masyarakat dengan masyarakat yang lain, maka semakin berlainan dialek atau istilah yang digunakan.





Bahasa Tidak Sopan


8 March 2013 / Jumaat

Bahasa halus ialah bahasa yang digunakan secara beradat dan bersopan santun. Penggunaan bahasa halus ini mempunyai beberapa tujuan, antaranya adalah untuk menghormati dan menjaga perasaan orang yang dilawan bercakap, mewujudkan kemesraan dalam perhubungan dan sebagainya. Pada kebiasaannya, bahasa halus disukai oleh semua orang berbanding penggunaan bahasa kasar. Berikut adalah beberapa contoh penggunaan bahasa halus :

Bahasa kasar
Bahasa halus
Mati      
Meninggal dunia / pulang ke rahmatullah
Jamban
Tandas
Kencing
Buang air kecil

      Pada suatu hari, di dalam kelas, pensyarah telah menegur pelajar- pelajar mengenai penggunaan bahasa yang kurang sopan atau bahasa kasar, iaitu pelajar telah menggunakan perkataan ‘jamban’ semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas tersebut. Beliau mengatakan bahawa perkataan seperti itu hanya sesuai digunakan semasa di rumah atau digunakan sesama sendiri. Perkataan tersebut harus digantikan dengan perkataan yang lebih halus atau sopan, iaitu tandas.

      Seharusnya, kita perlu bijak memilih perkataan-perkataan yang sesuai semasa bertutur dan harus bergantung kepada situasi atau keadaan persekitaran. Hal ini demikian kerana jika kita tersalah menggunakan bahasa pada sesuatu situasi, kita akan dianggap sebagai seorang pengguna bahasa yang tidak sopan. dan juga akan dikatakan seorang yang tidak beradab. 



                       

Khamis, 7 Mac 2013

Gementar


7 March 2013 / Khamis

Dalam subjek Pengurusan Pembelajaran, antara tugasan-tugasan yang diberikan ialah kerja lapangan berkumpulan dan tugasan individu yang berbentuk lisan dimana pelajar diminta untuk menghuraikan satu isu di sekolah tanpa membawa teks. Akan tetapi pensyarah tidak memberikan tarikh yang tepat untuk ujian tersebut. Pensyarah menyatakan bahawa para pelajar perlu bersedia dari awal kerana nama yang dipilih adalah secara rawak.
        Pada hari ini, kelas berjalan seperti biasa tepat jam 10 pagi. Setelah mengajar, satu jam berikutnya pensyarah menyatakan bahawa beliau mahu membuat ujian lisan. Alangkah terkejutnya saya apabila orang pertama yang dipanggil ialah saya. Berdebar-debar rasa dihati hanya Tuhan sahaja yang tahu. Untuk pengetahuan semua, saya takut apabila berdiri di hadapan ramai. Tanpa persediaan yang cukup, saya ke hadapan menghuraikan satu isu berkaitan telefon bimbit di sekolah. Semasa bercakap dihadapan, saya Nampak seperti malu-malu dan agak gementar. Hanya dua orang sahaja yang dipanggil untuk lisan hari ini. Selepas dari itu, saya berasa agak lega. Namun demikian, saya tidak berpuas hati dengan hujahan saya. 
       Sepatutnya, saya perlu membuat persediaan awal untuk lisan tersebut dan belajar untuk membuang rasa malu dalam diri supaya penyampaian lebih baik, insyaAllah…


                             

Rabu, 6 Mac 2013

Bantu Orang Buta Melintas Jalan


6 March 2012 / Rabu

Hari ini, selepas balik dari kelas, saya pergi ke Pekan untuk membeli sedikit barang. Keadaan cuaca yang panas terik membuatkan saya berasa letih. Selepas membeli barang yang diperlukan, saya berjalan ke stesen bas sementara menunggu teksi datang.  Tiba-tiba, saya ternampak seorang pakcik yang cacat penglihatan memegang tongkat mahu melintas jalan. Terdetik rasa kasihan di hati saya. Lantas saya terus menuju kearah pakcik tersebut untuk membantunya. Saya menyapa pakcik tersebut dan menyatakan hasrat saya untuk membantunya. Pakcik tersebut tersenyum dan bertanya tentang diri saya. Keadaan jalan raya pada ketika itu agak sesak. Kereta tidak putus-putus dan sentiasa ada. Tanpa melengahkan masa, sementara suasana lengang seketika, saya memimpin pakcik tersebut untuk melintas. Selang beberapa saat, saya mendegar bunyi hon beberapa kali oleh seorang pemandu yang membawa kereta Wira. Saya juga terdengar bebelan lelaki tersebut. Saya berasa sangat terkilan dengan lelaki tersebut. Apabila sampai ke destinasi yang dituju, pakcik tersebut mengucapkan terima kasih kepada saya. Saya gembira dapat menolong orang didalam kesusahan. Apabila tiba di rumah, saya terkenang dengan kejadian tersebut. Tidak sepatutnya pemandu tersebut berkelakuan sebegitu. Inilah keadaan yang berlaku sekiranya manusia tiada lagi sifat perikemanusiaan.



         



Selasa, 5 Mac 2013

Cuai


5 March 2013 / Selasa

Bismillahirahmanirrahim...

Pada pagi Sabtu sebulan yang lepas saya telah dikejutkan oleh ibu saya pada pukul lima pagi, memandangkan kami akan bertolak ke Kuala Lumpur untuk ke rumah kakak saya pada pukul enam pagi. Agak pening-pening lalat memandangkan malam sebelum itu saya tidur lambat.
Setibanya kami di rumah kakak saya, saya berehat-rehat sambil bermain dengan anak kakak saya iaitu Zafar Absyar yang berusia setahun. Zafar sangat comel ditambah lagi kulitnya yang putih dan pipinya yang tembam. Selepas makan tengahari, abang saya membawa kami ke sebuah pusat membeli-belah. Saya bersama adik saya pergi ke sebuah kedai untuk membeli jam memandangkan sudah setahun jam saya rosak. Setelah memilih jam yang sesuai, saya ke kaunter pembayaran. Saya menyeluk beg tangan saya untuk mengeluarkan dompet. Saya dapati beg duit saya tiada. Jantung saya berdegup kencang. Saya meraba-raba lagi dengan harapan beg duit saya akan muncul secara ajaibnya. Namun malangnya, harapan saya hanya sekadar angan-angan kosong. Saya lantas membuat muka cuak di hadapan jurujual tersebut. Akan tetapi adik saya lantas membayarkan jam saya menggunakan duitnya. Untuk pengetahuan anda semua saya memang amat terkenal di kalangan ahli keluarga sebagai seorang yang amat cuai dan pelupa. Sering sahaja tertinggal telefon bimbit, tercicir barang, terlupa dan sebagainya. Apabila tiba di rumah kakak, saya dapati beg duit saya berada di bilik kakak saya. Saya menghela nafas lega dan bersyukur. Akan tetapi saya dimarahi oleh ibu dan ayah saya.
Sepatutnya, kita tidaklah boleh cuai dalam segala hal. Hal ini kerana satu kecuaian sahaja akan mengakibatkan bermacam-macam masalah akan menimpa dan akan menyusahkan orang lain. Sejak dari itu, saya berjanji tidak akan cuai lagi. Insya-Allah.


                  

Tidak Jujur dalam Perhubungan


4 March 2013/Isnin
Bismillahirahmanirrahim…

Saya ingin menceritakan pengalaman saya sewaktu cuti semester lepas. Pada sebulan yang lepas saya pulang ke kampung di batu pahat menaiki bas. Perjalanan mengambil masa lebih kurang lima jam.
Dalam bas tersebut, saya bersyukur kerana penumpang yang duduk di sebelah saya juga perempuan. Saya pun mula menyapa gadis disebelah saya. Namanya Alia dan dia tinggal di muar. Alia seorang yang peramah jika dibandingkan dengan saya yang agak pemalu. Saya seronok dapat berkenalan dengan Alia. Dalam perjalanan kami tidak berhenti berborak. Saya bertanyakan kepada Alia samaada dia sudah berpunya atau belum. Alia lantas memulakan ceritanya. Alia memberitahu saya bahawa dia baru sahaja putus bersama kekasihnya. Saya bertanyakan sebab mereka putus. Alia menyatakan bahawa kekasihnya curang dan meninggalkan dia begitu sahaja tanpa khabar berita. Sebelum mereka putus, Alia menyatakan bahawa sudah setahun Alia tidak diendahkan oleh kekasihnya. Saya menasihatkan Alia agar bersabar, mungkin ada calon yang lebih baik dan mungkin sudah ketetapan Ilahi bahawa antara mereka tiada jodoh.
Alia seorang gadis yang baik, bagi saya tidak patut kekasihnya berbuat begitu. Walaupun sudah beralih arah dan berpaling hati, tetapi kejujuran itu sangat penting dalam sesebuah perhubungan. Sepatutnya, kekasih Alia berterus terang kepada Alia bahawa dia sudah menjumpai kekasih hati yang lain. Saya mendoakan agar Alia di beri kekuatan dan cekal mengharungi hari-hari mendatang. Saya juga berharap agar Alia berjumpa insan yang lebih baik dan memasang niat untuk menjadikannya isteri, amin ya rabbal alamin.
         Itu sahaja yang dapat saya kongsi pada hari ini. Semoga kita berjumpa lagi:)