Sabtu, 9 Mac 2013

Mengawal Kemarahan dengan Bahasa yang Baik



18 March / Isnin
                  
Hal ini mungkin akan terjadi kepada semua pelajar. Namun, hanya sedikit tingkah-laku yang ingin dititipkan di sini. Situasi ini terjadi ketika saya mahu membeli makanan tengah hari di kedai makan bahtera arked.

Pada mulanya, kakiku rasa berat mahu melangkah menuruni tangga-tangga kecil di rumah kediamanku walaupun saya hanya tinggal di aras 2. Namun, disebabkan perutku yang berkeroncong kuat bak menyanyikan lagu zapin, saya turutkan juga bentak perut yang perlu diisi meminta makanan. Saya dengan hanya berpakaian ala kadar mengenakan baju 't-shirt' putih dan seluar 'track' hitam serta bertudung menuruni tangga dengan mengelek dompet di tangan menuju ke destinasi.

Sesampainya di sana, "Masya-Allah, ramainya orang mahu membeli juadah tengah hari ketika ini! ", kata hatiku sendiri. Ketika saya sampai, sudah ramai yang beratur mahu membuat pembayaran makanan yang telah dipilih oleh mereka di kaunter pembayaran. Ketika saya sibuk memilih lauk untuk juadah tengah hari, saya terdengar seorang pelajar yang sudah berada di hadapan kaunter pembayaran berkata seperti ini:

"Eh mak cik, kenapa lauk hari ini lauk ayam saja? Dah tak ada lauk lain?Kalau hari-hari makan lauk ayam saja boleh gemuk kami macam ini!", katanya kepada seorang perempuan yang agak tua di kaunter pembayaran. Suaranya agak kuat sehingga saya yang berada di belakang barisan boleh mendengar suaranya dengan jelas. Lagi pula, nada suaranya seperti marah bercampur sinis. Perempuan tua itu hanya menghadiahkan senyuman kepadanya. Pelajar itu terus berlalu pergi setelah selesai membuat pembayaran di kaunter tersebut. Mungkin perempuan tua  itu rasa malu atau sekadar bersabar tidak mahu mempedulikan kata-kata pelajar itu tadi. Saya meneruskan perjuanganku membeli makanan dan seterusnya membuat pembayaran di kaunter. 

Sepatutnya, tidak sewajarnya pelajar tersebut mengeluarkan kata-kata sedemikian kerana sebagai rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama haruslah mempunyai  nilai sopan santun atau pun budi bahasa yang tinggi walau dengan sesiapa sahaja kita berkomunikasi. Dalam konteks ini, walau pun dalam situasi mahu membeli makanan  sahaja, kita seharusnya menunjukkan sikap yang baik. Dalam Islam juga ada mengingatkan kita tentang tindakan yang sewajarnya ketika diri dalam kemarahan.


             

Tiada ulasan:

Catat Ulasan